Google Webmaster

Wednesday, July 20, 2005

PELANTIKAN KETUA PEGAWAI OPERASI TAKAFUL MALAYSIA

Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia)mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif dua syarikat subsidiarinya Asean Retakaful International (L) Limited (ARIL) dan P.T Syarikat Takaful Indonesia(STI).

Encik Md. Azmi Abu Bakar, Pengurus Besar Bahagian Takaful Keluarga telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi, berupa jawatan baru di Takaful Malaysia. Beliau mula berkhidmat di Takaful Malaysia pada tahun 1989 sebagai Pembantu Eksekutif di Bahagian Takaful Keluarga, berkelululusan Sarjana Sains Aktuari daripada Universiti Iowa, Amerika Syarikat. Pada tahun 1992 beliau dilantik Pengurus Jabatan Takaful Keluarga dan seterusnya menjawat jawatan Pengurus Besar Bahagian Takaful Keluarga pada tahun 1999.

Selaku Ketua Pegawai Operasi, En. Md. Azmi Abu Bakar membantu Ketua Pegawai Eksekutif dalam pengurusan operasi Takaful Malaysia secara keseluruhannya. Selain itu, En. Md. Azmi Abu Bakar masih menyandang jawatan Pengurus Besar Bahagian Takaful Keluarga.

Bagi operasi Takaful Malaysia di peringkat antarabangsa, dua pelantikan baru Ketua Pegawai Eksekutif ARIL dan STI telah dibuat berikutan dengan persaraan Encik Mohamed Arif Abdul Rashid yang dipinjamkan ke STI sebagai Direktur Utama.

Encik Wan Zamri Wan Ismail yang sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif ARIL dilantik Direktur Utama STI dan tempat beliau digantikan oleh Encik Abdul Halim Nasri yang sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sharekat Takaful Al Arabia al Malaysia (AMTC) beribu pejabat di Jeddah, sebuah syarikat usahasama antara Takaful Malaysia dan Dallah Healthcare Holding Ltd Arab Saudi.

Encik Wan Zamri memulakan kerjaya di Takaful Malaysia pada 2 September 1985 sebagai Pengurus Takaful Malaysia Cawangan Kota Bharu dan Cawangan Kuantan sehingga tahun 1997. Apabila Takaful Malaysia menubuhkan ARIL sebagai syarikat subsidiari pesisir di Labuan yang pertama di dunia mengkhususkan operasi takaful semula sahaja beliau dilantik Ketua Pegawai Eksekutifnya pada Julai 1997.

Encik Abdul Halim Nasri memulakan khidmatnya dengan Takaful Malaysia pada 1 Mac 1986 sebagai Eksekutif di Jabatan Takaful Keluarga. Beliau kemudian dipindahkan ke Alor Star pada tahun 1989 sebagai Pengurus Cawangan. Dengan tertubuhnya AMTC pada tahun 2000, Encik Abdul Halim telah dipinjamkan oleh Takaful Malaysia ke Jeddah bagi mengetuai AMTC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tempat beliau di AMTC kini dipangku oleh Encik Yaacob Alias, seorang lagi pegawai Takaful Malaysia yang telah dipinjamkan ke AMTC sejak penubuhannya.